IPOH - Kerajaan negeri akan mewujudkan studio rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak untuk memenuhi keperluan digital kepada semua golongan.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, cadangan itu sedang diperhalusi oleh pejabat Exco bersama-sama dengan Menteri Besar Perak untuk direalisasikan di seluruh negeri.

"Kita sudah membentangkan satu kertas cadangan untuk dilaksanakan di peringkat Negeri Perak.

"Studio rakyat itu akan diwujudkan di setiap DUN tidak kira samada kerajaan atau pembangkang," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga bekas atlet olahraga negara, mendiang A Kandiah yang meninggal dunia September lalu di kediamannya di Persiaran Sungai Pari, di sini pada Selasa.

Jelasnya lagi, idea itu tercetus selepas kewujudan studio Bota TV di Seri Iskandar yang sudah mula beroperasi semalam.

"Sepertimana studio Bota TV, studio rakyat yang bakal dilaksanakan ini juga sedang kerajaan negeri usahakan bagi membantu rakyat dalam memenuhi keperluan semasa.

"Selain rakaman, ia juga berfungsi untuk membuat promosi produk secara digital, ini salah satu platform yang kita lihat cukup membantu masyarakat untuk berjaya,''katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu yang akan diuruskan oleh Pusat Khidmat boleh digunakan oleh semua pihak dengan tidak dikenakan sebarang bayaran.

"Dalam norma baharu studio ini memang menjadi keperluan, kita menawarkan kepada pendidik, pelajar, Institut Pengajian Tinggi (IPT), usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk menggerakkan aktiviti mereka,''katanya.

Terdahulu, Khairul Shahril menziarahi ahli keluarga mendiang A Kandiah, selain bertanyakan khabar dan menyampaikan sumbangan wang tunai bagi pihak kerajaan negeri kepada waris.

Ujarnya lagi, A Kandiah semasa hayatnya sinonim sebagai atlet larian jarak jauh, dan dikenali ramai kerana tidak memakai kasut ketika berlari.

Menurutnya lagi, mendiang akan membalut kakinya dengan kain balutan sebelum memulakan larian, selain itu mendiang juga berjaya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Sukan SEA tahun 1977 di Kuala Lumpur.