BATU GAJAH - Perak boleh menawarkan satu tarikan pelancongan iaitu destinasi bermotosikal atau pakej untuk bikers trail sekali gus mengetengahkan aktiviti permotoran.
Menerusi potensi ini, pelbagai pakej menarik boleh diwujudkan secara terurus termasuk kemudahan kepada pelancong bermotosikal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata, ia juga wajar dimanfaatkan penggiat pelancongan di negeri ini untuk meneroka pasaran baharu.
"Perak ada banyak kelebihan. Kita berpotensi menjadi negeri pelancongan bermotosikal dan akan melancarkan bikers trail pada Disember depan.
"Misalnya program konvoi bermotosikal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengelilingi negeri Perak dengan motosikal boleh menjadi asas kajian ke arah tersebut," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Integriti Pelancongan SPRM di Tanjung Tualang Tin Dredge 5 (TT5) hari ini.
Hadir sama Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad; Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap dan Pengarah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Perak, Asrul Zakaria.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Seramai 80 pegawai dan anggota SPRM mengelilingi negeri Perak secara bermotosikal untuk menyampaikan mesej perangi rasuah dalam kalangan penggiat pelancongan dan orang ramai.
Pada majlis perasmian tersebut, Nolee Ashilin telah melakukan gimik pelancaran dengan melepaskan para peserta.
Konvoi sejauh 600 kilometer itu akan singgah di 10 lokasi ikonik pelancongan negeri Perak sepanjang tempoh 10 hari perjalanan.
Antara lokasi yang akan dikunjungi adalah Kellie’s Castle, Batu Gajah; Menara Condong, Teluk Intan; Dataran Bagan Datuk dan Zoo Taiping.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, program berkenaan bertujuan menyampaikan mesej pencegahan rasuah selain mempergiatkan lagi industri pelancongan di negeri Perak.
“Banyak isu integriti timbul apabila sektor pelancongan mula beroperasi dan melalui jelajah ini, diharapkan dapat memberi mesej kepada penggerak pelancongan dan juga orang awam.
“SPRM mengambil kaedah santai ini untuk berhubung dengan masyarakat khususnya pengusaha pelancongan secara terus," ujarnya.