IPOH - Masih terdapat 279 guru di negeri ini yang enggan divaksin walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah memujuk tetapi tetap tidak mahu menerima suntikan tersebut.
Sehubungan itu kerajaan negeri menyerahkan perkara tersebut kepada Jabatan Pendidikan negeri serta pentadbiran sekolah bagi menguruskan isu berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu itu sepatutnya tidak berlaku kerana para guru memahami arahan untuk semua golongan pendidik menerima vaksinasi sepertimana ditetapkan.
Menurut beliau, ini bagi mewujudkan komuniti selamat memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka pula akan dibuka pada 22 November nanti.
"Mengikut dasar Kementerian Pendidikan (KPM), kumpulan guru berkenaan tidak dibenarkan mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
"Tapi bagi pihak kerajaan negeri kita tiada kuasa mewajibkan 279 guru berkenaan mendapatkan pelalian itu, sebaliknya melalui arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud.
Sehingga semalam, seramai 37,069 daripada keseluruhan 37,438 guru di Perak sudah divaksin.
Manakala 369 masih belum menerima vaksinasi dengan 279 menolak untuk diberi suntikan.
KPM sebelum ini memberi tempoh sehingga 1 November sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia selaras ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengkehendaki semua penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin atau berdepan tindakan tatatertib.
Beliau malah bertegas guru yang tiada vaksinasi tetap tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di sekolah yang dibuka semula untuk kemasukan fizikal.