IPOH — Kepentingan usahawan untuk memperkasa dan memahirkan diri dalam penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sangat perlu kerana kepelbagaian penggunaan pada kemahiran digital.
Dalam konteks perniagaan semasa norma baharu juga memperlihatkan era digital mula mengambil alih selain memudahkan urusan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri menggalakkan kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi memperkasa modul Pendidikan Teknikal dan Latihan Volasional (TVET) yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM200 juta sepanjang tahun ini bagi pakej rangsangan ekonomi membantu rakyat yang terkesan.
"Pelbagai program juga diadakan bagi membantu rakyat melaksanakan peluang pekerjaan dengan menyediakan latihan-latihan kemahiran.
"Antaranya program TVET untuk mendedahkan anak-anak muda sama ada yang masih bersekolah atau sudah bekerja untuk menceburi bidang kemahiran," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program TNB Reskilling Malaysia diantara TNB Ilsas dan Digital Perak Corporation Holdings.
Majlis yang diadakan secara maya ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rizal Fitri Meor Redwan; Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohd Razali dan Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS), Siti Sarah Johana Mohd Said.
Ia dilancarkan bagi penambahbaikan pengetahuan dan kemahiran ICT usahawan kecil dan sederhana negeri Perak menerusi satu siri kursus-kursus ICT.
Antaranya Interactive Video Editing, Creative Content Design dan VYond - Interactive Platform bagi 15 usahawan tempatan di bawah Hub Inovasi dan Multimedia (HiM) Digital Perak.
Kata Saarani, program TNB Reskilling Malaysia ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan menepati hasrat kerajaan negeri untuk mempertingkat pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja.
Jelas beliau, ia juga merancakkan lagi tranformasi digital negeri Perak bersesuaian dengan keperluan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“Program ini menawarkan pelbagai kursus-kursus latihan secara percuma khususnya kepada para pekerja syarikat-syarikat usahawan kecil yang terjejas untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja.
“Sehubungan itu, saya berharap dengan sekembalinya para peserta daripada kursus-kursus yang ditawarkan ini, mereka dapat meningkatkan kualiti kemahiran sekaligus membantu majikan atau perniagaan mereka," ujarnya.