IPOH 18 Feb - Pusat Perubatan Ar-Ridzuan bakal menganjurkan Kursus Pembedahan Tulang Pinggul dan Lutut yang dihadiri pakar-pakar bedah ortopedik dari seluruh negara.

Kursus dua hari bermula 7 hingga 8 Mac itu disertai kira-kira 30 orang pakar termasuk dari Korea Selatan dan Australia.

Pusat Perubatan Ar-Ridzuan merupakan entiti di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAlPk) dan dimiliki sepenuhnya Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam negeri Perak (PKEINPK) Sdn. Bhd.

Pengurus Besar Pusat Perubatan Ar-Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani berkata, penganjuran kursus ini bakal meletakkan kedudukan pusat perubatan itu sebagai antara hospital ortopedik terbaik di negeri ini.

Menurut beliau, kursus tersebut akan diketuai pakar bedah ortopedik, Dr. Loh Choong Sing yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam pembedahan pembentukan semula sendi tulang.

"Kursus ini diadakan dengan konsep bahawa idea dan pengalaman yang baik harus dikongsi dalam kalangan komuniti ortopedik. 

"Kita juga akan mempamerkan pembedahan langsung kepada peserta kursus iaitu dua pembedahan penggantian penuh tulang pinggul dan tiga pembedahan penggantian penuh lutut," katanya pada semasa 
sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Impiana Hotel.

Mengulas lanjut kata Khairul Salleh, melalui persidangan ini, pakar bedah ortopedik yang hadir dari seluruh Malaysia boleh menyaksikan prosedur-prosedur tersebut secara langsung.

Jelas beliau, ini termasuk cara-cara menjalankan pembedahan daripada pendekatan spesifik untuk mengetahui protokol cara teknik penyimenan dan prosedur implan secara terperinci. 

"Turut diadakan pada program sama nanti ialah sesi ceramah yang akan diadakan di dewan persidangan semasa sesi pembedahan sedang dijalankan.

"Ceramah akan disampaikan oleh pakar jemputan iaitu Dr. Tai Cheh Chin iaitu pakar bedah dari Ramsay Sime Darby Subang Jaya Orthopaedic. 

"Dua pakar bedah ortopedik dari Korea Selatan juga dijemput bagi menerangkan bagaimana pembedahan-pembedahan ini dijalankan di sana," ujarnya.

Di samping itu, para peserta juga dapat mendengar penerangan mengenai perkembangan terkini dalam penggunaan teknologi komputer yang diselaraskan untuk prosedur pembedahan tulang pinggul dan lutut oleh penceramah khas, Pelet Goodman dari OrthAlign Inc. Australia.