KUALA KANGSAR - Bandar DiRaja Kuala Kangsar bakal diangkat sebagai warisan kebangsaan, tidak lama lagi.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata selepas mendapat penarafan Bandar Kuala Kangsar akan dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
"Kita ada buat perbincangan dengan Jabatan Warisan Negara untuk (bandar Kuala Kangsar) diangkat sebagai Warisan Kebangsaan terlebih dahulu.
"Selepas itu kita akan lihat kepada penarafan UNESCO, setelah Warisan Kebangsaan diselesaikan.
"Kita harap ianya dapat direalisasikan dalam masa yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021, di Dewan Jubli Perak di sini pada Khamis.
Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqurnain Mohamad dan Pengarah PlanMalaysia@Perak, Asni Mustafa.
Nolee Ashlin berkata usaha itu bagi memartabat dan mengiktiraf warisan istana Bukit Chandan sebagai Tapak Warisan Bernilai Tinggi.
Ujarnya lagi ia adalah salah satu daripada projek pemacu yang akan dibentangkan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Kangsar 2035 (penggantian).
Dalam perkembangan berasingan, Nolee Ashilin berkata kedatangan pelancong ke negeri ini menunjukkan prestasi baik, khususnya di Pulau Pangkor.
Katanya, walaupun kes COVID-19 masih menunjukkan turun naik, namun ia tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di Perak.
"Pengusaha dan pemain industri lega apabila aktiviti pelancongan sudah mulai rancak terutamanya di Pulau Pangkor, Kuala Kangsar dan Ipoh.
"Penginapan hotel misalnya di Ipoh kita dapati 97 peratus penginapan hampir penuh ditempah," katanya.