KAMPAR - Sebuah kilang papan di Jalan Kelar, Mambang Diawan dekat sini musnah sebahagiannya dalam kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.39 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dikerah ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang berkeluasan 200 x 100 kaki musnah kira-kira 50 peratus.
" Turut terbakar lima buah forklift dan lima mesin pengisar kayu. Kebakaran bagaimana pun tidak melibatkan mangsa," ujar jurucakap tersebut.
Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Tapah, Gopeng, Simpang Pulai dan Ipoh.
Turut dikerah ialah anggota sukarelawan bomba Menglembu, Teluk Intan dan Kampung Batu 12.
Jelas kenyataan itu, petugas Tenaga Nasional Berhad dan polis turut berada di lokasi membantu operasi
Operasi yang diketuai PKPgB Mohd Hisyam Zakariah tamat sepenuhnya pada pukul 4.40 pagi.