TANJUNG MALIM - Seramai 4,009 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima ijazah masing-masing pada Istiadat konvokesyen UPSI ke-22 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini bermula esok.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata sesi pertama disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI pagi esok.

Beliau berkata, istiadat konvokesyen kali ini melibatkan tujuh sidang sesi pagi sahaja bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada waktu petang.

“UPSI akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sukan kepada Tan Sri Datuk Sri Mohamad Norza Zakaria; Tan Sri Azman Hashim (Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan), Datuk Syed Elias Syed Ahmad I(jazah Kehormat Sains Pertanian) dan gelaran Profesor Emeitus kepada Prof. Dr. Omar Abdull Kareem.

“Daripada keseluruhan graduan pula, seramai 88 merupakan penerima Ijazah Kedoktoran, Sarjana (684), Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (343), Sarjana Muda (2,572) dan Diploma (322),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pecahan graduan pula meliputi Fakulti Bahasa dan Komunikasi seramai 543, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (189), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (515) serta Fakulti Sains Kemanusiaan (365).

Turut bergraduasi ialah pelajar Fakulti Sains dan Matematik (436), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (333), Fakulti Seni, Sains Komputeran dan Industri Kreatif (392) ,Fakulti Pembangunan Manusia (1059) dan Fakulti Teknikal Vokasional (177).

UPSI akan memastikan pematuhan (SOP) diikuti bagi mengelak sebarang penularan manakala Pesta Konvokesyen pula tidak diadakan.