IPOH – Kunjungan Duta Jerman di Malaysia, Dr. Peter Blomeyer ke bandaraya Ipoh mencatat lembaran baharu bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman negaranya dalam pemuliharaan alam sekitar khususnya kelestarian alam.

Dr. Peter yang dalam rangka lawatan selama seminggu ke Perak telah melapangkan masa ke sini sebelum memulakan perjalanan ke Royal Belum di Gerik.

Ketibaan Dr. Peter ke pejabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ipoh City Watch (ICW) di Kinta Heights dalam suasana hujan bagaimana pun tidak menjadi penghalang bagi beliau untuk meneruskan program yang diatur.

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh, Dr. Richard Ng berkata, kunjungan Dr. Peter sangat memberi makna apabila beliau sangat peka pada isu-isu berkaitan alam sekitar.

“Kami amat berbesar hati apabila menerima kehadiran beliau yang turut terlibat semasa sesi diskusi tentang pemuliharaan alam yang merupakan khazanah penting bagi generasi akan datang.

“Antara isu yang dibincangkan adalah tentang perubahan iklim,” ujarnya.

Pada sesi bersama ICW juga, Dr. Peter turut diberi penerangan tentang kempan kitar semula yang dijalankan pihak NGO tersebut melibatkan komuniti setempat iaitu menerusi 'trash2cash' dan program 'trash4food'.

Sebagai tanda kenangan, Dr. Peter kemudian telah menanam anak pokok buluh di tanah lapang rumah pangsa Kinta Heights dan menandatangi plak.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Dr. Peter memuji usaha memulihara alam sekitar khususnya kepada kerajaan negeri Perak yang boleh dicontohi negeri-negeri lain.

Katanya, beliau berbangga dengan kejayaan bandar Taiping bagi pelaksanaan fasa pertama projek perintis Bandar Mesra Usia oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 2019.

“Mulakan penjagaan alam sekitar walaupun dengan kitar semula satu botol plasitk, ia langkah permulaan yang baik.

“Jerman sebagai contoh mengamalkan kitar semula secara efisien kerana kita perlu lakukannya, iaitu menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujarnya.