IPOH - Pengunjung pusat beli-belah AEON Kinta City di sini cemas apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia yang diletakkan di tepi jalan terbakar petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.20 malam.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikerah ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kebakaran melibatkan sebuah kereta Perodua Axia yang musnah 70 peratus tetapi tiada mangsa terlibat.

"Bomba yang tiba di tempat kejadian telah membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos reel dari tangki jentera sehingga api dipadamkan," ujar jurucakap tersebut.

Operasi yang diketuai PBK II Rahman Abdullah tamat sepenuhnya pada pukul 7.55 malam.