IPOH- Bakal jemaah umrah di bawah Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ) bakal menikmati pengurusan umrah yang selesa dan berbaloi mengikut nilai wang yang dilaburkan oleh jemaah.

Presidennya, Mohamad Ali Sabri berkata hasil dari kerja-kerja pemeriksaan yang dilakukan di Madinah dan Mekah selama 12 hari, PUHAZ akan menentapkan pakej-pakej umrah mengikut dua kategori yang dirasakan mampu milik pada semua peringkat masyarakat.

“Kita telah mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak pengurusan di lapan buah hotel di Tanah Suci  yang bertaraf 5 bintang dan 3 bintang. Kami menitikberatkan nilai wang para jemaah dengan memastikan penginapan yang selesa, makanan dan jarak berdekatan dengan masjid.

“Kita mewujudkan dua pakej iaitu 'Pakej Standard' pada harga RM8690 dan 'Pakej Ekonomi' RM7690. Sebenarnya pakej ini sama sahaja,  cuma yang membezakan ialah dari segi penginapan dan makanan yang disediakan.

“Kami juga akan memperkenalkan pakej tambahan produk  pelancongan yang sebelum ini tidak diperkenalkan.

“Saudi Tourism Authority (STA) telah memperkenalkan produk-produk pelancongan termasuk tapak warisan sejarah yang boleh dimuatkan ke dalam pakej kami antaranya Al Balat, Taif dan Carmel di Jeddah.

“Namun begitu, kami akan berbincang mengenai penambahan pakej. Sekiranya mereka bersetuju baharulah kami akan menjadualkan lawatan mereka,” katanya.

Menurut Mohamad Ali Sabri, keistimewaan PUHAZ selain dari harga pakej yang tetap dan selaras, ia juga akan memastikan pengurusan dan kebajikan jemaah terjamin sehingga pulang ke tanah air.

“Tujuan kita menyelaraskan harga pakej yang tetap adalah untuk menggelakkan sebarang kekeliruan dan penipuan yang kebanyakkannya terjadi di media sosial.

“PUHAZ juga menyediakan perkhidmatan mutawif berpengalaman dan bertauliah dari Malaysia bagi memudahkan komunikasi dua hala antara jemaah. Begitu juga kami juga menyediakan kakitangan PUHAZ di Tanah Suci untuk memantau keselamatan dan kesihatan jemaah.

“Selain itu, pemantauan tahap kesihatan jemaah selepas pulang ke tanah air akan terus dilakukan. Ini adalah tanggung jawab kami kepada jemaah yang berdaftar di bawah PUHAZ,” katanya.