IPOH - Sebuah kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands di sini petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.44 petang.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi mendapati kejadian tanah runtuh telah menghalang laluan utama ke Cameron Highlands.


"Maklumat awal terdapat sebuah kenderaan terperangkap dan terdapat mangsa dalam kenderaan tersebut," ujar jurucakap tersebut.

Kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan di lokasi diketuai Komander Operasi, PBK II Johari Muhamad.