GERIK - Kehilangan seorang lelaki sejak yang juga penduduk Kampung Air Panas, Pengkalan Hulu di sini sejak semalam akhirnya terjawab setelah dia ditemui semula oleh penduduk setempat petang tadi.

Lelaki berusia 42 tahun itu sebelum ini dikhuatiri hilang sejak semalam setelah tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari haiwan ternakannya di kebun getah berdekatan rumah.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan bagi membantu mencari mangsa pada pukul 3.59 petang tadi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu telah dihantar bagi membantu operasi pencarian.

"Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan hilang sejak semalam semasa keluar mencari haiwan ternakan bersama abangnya.

"Mangsa bagaimana pun telah dijumpai oleh penduduk kampung kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang," ujar jurucakap tersebut.

Selain bomba, usaha mencari mangsa turut melibatkan anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan bagaimana pun diserahkan kepada pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Operasi yang diketuai Ketua BBP Pengkalan Hulu, PPgB Shahrul Anwar Abd Azam tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 petang.