IPOH - Pemilihan Ahli Dewan Negara antara lima usul yang akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada 10 hingga 20 Disember ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata pemilihan itu dibuat susulan terdapat dua kekosongan dalam Dewan Negara.

Katanya, pihaknya menerima enam pencalonan bagi pemilihan itu, namun akhirnya hanya ada empat pencalonan dimuktamadkan.

Ia terdiri daripada Amanah, Bersatu, DAP dan Barisan Nasional.

"Pejabat Speaker telah terima enam pencalonan, satu daripadanya PKR. Bagaimanapun ia dilakukan selepas tarikh notis tamat iaitu 29 November, kami terima 30 November.

"Sama juga dengan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan dua, satu daripada Bersatu dan satu dari Pas.

"Bagaimanapun, lewat petang semalam kami terima surat daripada pencadang Pas yang menarik balik pencalonan calon mereka (Pas). Oleh itu hanya tinggal empat pencalonan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14. di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha DUN, Nazri Abdullah.

Dalam pada itu, empat usul lain yang akan dibentang seperti Usul Rang Undang-Undang Cadangan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021; Usul Cadangan Pindaan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak.

Usul Melantik Cadangan Penambahan Terma Rujukan Dan Bidang Kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengkaji Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dan Usul Cadangan Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-Enakmen Negeri Perak Darul Ridzuan.

Mohammad Zahir berkata, pelaksanaan sesi usul tersebut akan berlangsung pada 20 Disember.

Iaitu selepas selesai penggulungan oleh Menteri Besar berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022.

Ujarnya lagi rakyat Perak boleh mengikuti Penstriman Langsung (live streaming) sepanjang persidangan Mesyuarat ini berlangsung, melalui saluran YouTube DUN Perak.

Katanya, pautan ‘live streaming’ itu akan dipaparkan melalui portal dan laman facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, sepanjang hari persidangan.