MANJUNG - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melangkah ke hadapan apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menggunakan aplikasi lesen perniagaan digital.
Dikenali sebagai myPATIL, ianya lebih efisien dan sistematik.
Pemasangan peranti pintar itu adalah menerusi kerjasama MPM dengan pihak Gates IT Solution Sdn. Bhd. (Gates IT) iaitu syarikat yang membangunkan sistem tersebut.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, peralihan daripada lesen lama yang menggunakan cetakan kertas adalah seiring dengan hasrat MPM ke arah pendigitalan.
Katanya lagi, urusan pembaharuan lesen dan lain-lain lebih mudah, cepat dan selamat apabila pemilik lesen perniagaan hanya perlu melaksanakan urusan-urusan tersebut melalui telefon bimbit.
"Penguat kuasa MPM juga boleh menjalankan penguatkuasaan secara digital dan seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
"Ini kerana myPATIL sebuah teknologi lesen digital diperkenalkan kepada penduduk daerah Manjung terutamanya pemilik-pemilik lesen perniagaan sejak Oktober lalu," ujarnya.
Hampir RM3 juta nilai ketirisan dapat diselamatkan oleh MPM disebabkan daripada tindakan culas pemilik premis perniagaan yang tidak berlesen dan membayar cukai.
Sikap tidak bertanggungjawab segelintir golongan peniaga ini dapat dikesan apabila MPM beralih kepada sistem pelesenan digital yang lebih efisien dan sistematik itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gates IT, Husni Ruslai berkata, myPATIL berasaskan teknologi pintar untuk semua premis perniagaan yang diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih.
"Sistem menggunakan teknologi tempatan ini juga adalah satu-satunya lesen premis digital yang wujud dalam pasaran," ujarnya.
Sehingga kini sebanyak 3,000 premis dalam pentadbiran MPM telah berjaya dipasang peranti pintar myPATIL daripada keseluruhan kira-kira 7,000 premis perniagaan.