IPOH – Setelah beroperasi selama 35 tahun, Ipoh Learning & Training Institute (ILTI) melebarkan sayapnya apabila berpindah ke bangunan serbaguna yang lebih besar di Jalan Woodward di sini.
Hub baharu ini dirasmikan secara maya oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan ILTI sebagai pusat pembelajaran bahasa Inggeris Cambridge terbaik di Ipoh.
Pengarah Pendidikan Bonanza Educare, Evelyn Chen berkata, ia adalah sebahagian daripada zon pembelajaran yang turut merangkumi prasekolah dan tadika, Kinder Labz dan sekolah renang Aqua Labz.
Menurut beliau, bangunan baharu itu juga lebih selesa selain ruang kelas yang besar dan kemudahan canggih sejajar dengan perancangan pembangunan institusi itu.
“Proses penempatan semula itu dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan pelajar ILTI.
“Selain menyediakan bilik darjah yang luas, kami telah memasang papan pintar untuk memudahkan pembelajaran,” ujarnya semasa perasmian yang diadakan bersempena dengan Majlis Graduasi Tahunan Kinder Labz.
Turut hadir Pengerusi Bonanza Venture Holdings, Datuk Lim Si Boon.
Chen menambah, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih moden, kemudahan baharu seperti kafe dan taman telah dibangunkan untuk memberi ruang kepada pelajar berehat dengan selesa.
ILTI yang ditubuhkan pada tahun 1986 menyediakan kursus bahasa Inggeris untuk semua peringkat umur, profesion dan keperluan dengan 40 tenaga pengajar professional.