LUMUT - Lapangan Terbang Pangkor akan menerima semula pesawat untuk mendarat seterusnya kembali menjadi salah satu pintu masuk ke pulau pelancongan tersebut, tahun depan.

Mulai 22 Januari depan, lapangan terbang ini akan menerima penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, Selangor.

Ini bakal memacu sektor pelancongan ke Pulau Pangkor yang sedang kembali rancak selepas lama ditutup disebabkan pandemik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkembangan terbaru ini menunjukkan petanda positif dan sangat dialu-alukan.

Menurut beliau, pihaknya difahamkan lapangan terbang itu nanti akan menerima pesawat penumpang ringan yang membawa kira-kira 50; orang penumpang.

"Buat masa ini kita difahamkan pesawat berkenaan menyediakan penerbangan dengan kekerapan antara tiga hingga empat kali seminggu.

"Penerbangan terus itu hanya melibatkan LTSAAS sahaja dan dikendalikan syarikat SKS Airways Airway Sdn. Bhd.," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Lesen Digital myPatil Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini hari ini.

Lapangan Terbang Pangkor dibina pada 1993 dan kali terakhir penerbangan beroperasi adalah pada Februari 2014 sebelum digunakan bagi tujuan pesawat persendirian.

Dengan adanya laluan udara itu akan menjadikan perjalanan pengunjung ke Pulau Pangkor hanya mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit bagi penerbangan dari Subang.

Dalam pada itu kata Nolee, sudah pasti pihak pemain-pemain industri di Pangkor teruja dengan perkara tersebut tambahan pula kehadiran pengunjung sejak sebulan lalu adalah sangat memberangsangkan.

"Pelancongan di Pulau Pangkor sebenarnya telah bersedia 100 peratus kerana semua pengendali pelancongan sudah kembali beroperasi seperti biasa," ujarnya.