IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak telah melancarkan Operasi (Ops) Gempur Zon Selatan dan Ops Gerak bagi melaksanakan pemeriksaan secara bersepadu dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
JAS negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, Ops Gempur Zon Selatan yang dilaksanakan pada Isnin hingga semalam menyaksikan sebanyak 41 premis dikenakan pelbagai tindakan berkaitan pelanggaran dalam penguatkuasaan alam sekitar.
Menurut kenyataan itu, operasi tersebut melibatkan seramai 23 pegawai dan anggota penguat kuasa menerusi pemeriksaan secara bersepadu.
“Dalam Ops Gempur Zon Selatan, kita telah menjalankan siasatan dan penguatkuasaan ke atas 41 premis meliputi tindakan di lapangan sebanyak 33, notis arahan (31), kompaun (853), serta masing-masing satu bagi kertas siasatan dan sitaan.
“Jenis industri yang diperiksa seperti bengkel, berasaskan getah dan kayu, elektrik dan elektronik, galian bukan logam, industri kimia, kenderaan, makanan dan minuman, pengilangan logam dan plastik,” ujar kenyataan tersebut di sini hari ini.
Langkah penguatkuasaan ini juga bagi memastikan pihak industri sentiasa bersedia mematuhi kehendak perundangan semasa beroperasi di samping menunjukkan keseriusan JAS dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan.
Sementara itu, sepanjang tahun ini pula JAS negeri Perak telah melakukan dua operasi melibatkan pemeriksaan di kawasan kuari dan ladang hutan.
Jelas kenyataan tersebut, Operasi Gempur diadakan pada Februari lalu menyaksikan sebanyak 134 tindakan penguatkuasaan diambil seperti Pelanggaran Syarat Kelulusan Laporan Penilaian Kesan AlamSekitar (EIA), arahan di lapangan, notis arahan kompaun, kertas siasatan dan perintah berhenti kerja.
Manakala dalam Operasi Gempur Ladang Hutan pada bulan sama juga sebanyak 31 tindakan penguatkuasaan dikenakan arahan di lapangan, notis arahan kompaun, kertas siasatan dan perintah berhenti kerja.
Sementara itu, JAS negeri Perak turut mengadakan Ops Gerak pada Khamis lalu melibatkan pemeriksaan kenderaan bermotor untuk memastikan pematuhan standard pelepasan asap dan gas pencemar yang ditetapkan dipatuhi.
Sebanyak 27 buah kenderaan diperiksa manakala 10 kenderaan dilakukan pemeriksaan meter di mana sebanyak empat kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan di bawah bidang kuasa JAS.
“Ingin ditegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar dari operasi ini akan dipantau dengan lebih dekat oleh pihak JAS dan dikehendaki melaksanakan tindakan pembaikan dengan kadar segera.
“Orang ramai juga adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujar beliau.