IPOH - Polis Perak telah mengesan satu rakaman video yang telah tular berkaitan pergaduhan melibatkan pelajar yang dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh, Daerah Kuala Kangsar, Perak pada jam 11.20 pagi, 10 Disember 2021.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil siasatan awal dilakukan pihak polis mendapati kejadian tersebut telah berlaku pada jam lebih kurang 1 hingga 2 pagi, 9 Disember 2021 melibatkan tujuh orang suspek remaja dan seorang mangsa remaja berumur 13 tahun.
"Pihak polis juga mengesahkan telah menerima 1 laporan berkaitan kes berkenaan daripada pengetua sekolah tersebut pada 10 Disember 2021 jam lebih kurang 1.00 tengahari berikutan daripada tularnya video pergaduhan di media sosial serta mendapat perhatian daripada netizen," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan telah dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan yang dilakukan oleh pihak polis.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih kepada umum serta disarankan untuk melakukan sebarang laporan dan aduan di Balai Polis berhampiran,, menghubungi jabatan yang berkaitan atau mengikut undang-undang diwartakan.