IPOH - Restoran makanan barat terkenal, Me'nate Steak Hub melebarkan sayapnya apabila membuka cawangan baharu yang juga yang pertama di Utara tanahair iaitu di bandar ini yang dirasmikan pembukaannya semalam.

Menate Steak Hub (Ipoh) yang terletak di No 5, Jalan Dato Seri Ahmad Said, Greentown juga merupakan cawangan kelapan, lantas pembukaanya juga mempelbagai lagi pilihan pengunjung dalam dan luar ke Ipoh yang sememangya telah dikenali sebagai bandar makan-makan popular.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ashraf Syed Ali berkata, pembukaan cawangan Ipoh ini sejajar dengan perancangan pihaknya untuk memperluaskan lagi jenama tersebut bermula di utara.

Katanya, selepas ini lokasi yang dirancang seterusnya di negeri utara adalah di Pulau Pinang dan Sungai Petani.

“Perancangan seterusnya ialah untuk menguasai negeri Pantai Timur pula yang akan menjadi lokasi seterusnya bermula di Kelantan, Kuantan (Pahang) dan Terengganu.

“Kita sememangnya mempunyai pelanggan yang ramai dari Perak khususnya Ipoh yang sanggup datang jauh-jauh ke premis Menate Steak Hub di Lembah Klang, jadi dengan pembukaan premis ini orang Perak tak perlu lagi jalan jauh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas majlis pembukaan Menate Steak Hub (Ipoh) yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Menurut Syed Ashraf, Menate Steak Hub merupakan sebuah restoran makanan barat berasaskan stik selain masakan barat dan ala Itali, makanan laut dengan rangkaian pelbagai jenis daging yang kesemuanya diimport.

Bercakap soal harga pula kata beliau, pelanggan tidak perlu risau kerana restoran itu menawarkan pelbagai variasi menu bermula pada harga yang paling rendah hinggalah pada harga paling mahal.

“Menu di Menate Steak Hub sesiapa sahaja boleh makan, bagi mereka yang biasa makan makanan barat akan tahu apa yang disajikan di sini serta perbezaannya di tempat lain.

“Pelanggan boleh melihat menu dan harganya, jadi tidak timbul tanggapan Menate Steak Hub hanya untuk golongan berada sahaja sebaliknya untuk semua peringkat pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, sempena pembukaan cawangan kelapan ini, Menate Steak Hub (Ipoh) menawarkan potongan harga sebanyak 20 peratus kepada 100 pelanggan pertama sehingga Ahad ini.