IPOH - Perniagaan barangan keperluan sekolah, Canggih Sutera merasmikan outlet pertamanya di Negeri Perak sekaligus pelancaran program ‘Canggih Go’ menerusi Program Pembangunan Usahawan Canggih Go (Canggih Go).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) , Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, Canggih Go merupakan program kerjasama MARA bersama pengeluar produk uniform sekolah jenama Canggih dalam melahirkan dan membantu usahawan sedia ada terutamanya dalam bidang tekstil. 

“Melalui program ini, kita mahu meningkatkan keupayaan dan kemampuan usahawan Bumiputera dalam industri Life Style khususnya dalam bidang penjualan pakaian dan barangan keperluan persekolahan Canggih serta mampu meningkatkan pendapatan usahawan selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian pembukaan outlet Canggih Sutera di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn. Bhd., Rozamir Zulkifli.

Azizah berkata, melalui penyertaan dalam Canggih Go, peserta akan dibimbing dengan latihan yang konprehensif iaitu kemudahan khidmat nasihat bagi penyediaan pembiayaan sehingga RM200,000 kepada peserta yang layak.

Katanya, program yang bermula pada awal tahun 2021 ini mensasarkan pembukaan lima outlet dalam tempoh setahun.

“Seramai 10 usahawan dipilih  untuk mengikuti program ini dan daripada jumlah itu, empat outlet telah memulakan operasi di Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Malahan perasmian outlet di sini juga adalah bagi meraikan peserta Canggih Go iaitu Rozamir yang memilih untuk meningkatkan prestasi perniagaan kelengkapan sekolah,” ujar beliau.

Sementara itu, pada majlis tersebut Azizah turut menyampaikan sumbangan bantuan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat Yayasan Didik Negara kepada 15 orang anak-anak asnaf dengan menerima kelengkapan persekolahan bernilai RM3,000.00 setiap seorang.