IPOH - Ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di asrama penuh digesa untuk memantau perubahan sikap anak masing-masing, agar insiden buli tidak berlaku.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu warden asrama dan para guru turut berperanan untuk bertindak sekiranya menyedari perubahan pada diri pelajar.

"Kadang-kadang pelajar yang berada di asrama ini, buli mungkin satu cara untuk dia melepaskan perasaan tidak berpuas hati dengan sesiapa barangkali dengan keluarga atau memang tidak mahu masuk asrama tetapi dipaksa.

"Jadi dia melepaskan tekanannya itu dengan cara memukul orang, keluarga yang ada anak di asrama kena memahami perubahan sikap anaknya, begitu juga guru dan warden asrama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ipoh International Art Festival (IIAF) 2021: Budi Pemanjangan Tradisi di di PORT Ipoh, pada Sabtu.

Menurut Saarani bagi mengulas isu insiden buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Tegasnya, gejala buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan mentaliti dalaman seseorang individu khususnya pelajar berkenaan.

"Pada saya orang yang sanggup memukul orang ini ada 'something wrong', dia tidak mempunyai perasaan dan emosinya tidak stabil, ini sangat bahaya.

"Saya harap ia tidak berulang, ini kerana berkali-kali kita tengok (kejadian buli). Apa yang saya pelik, orang yang merakam sampai hati pula melihatnya, sepatutnya orang yang merakam dan kawan yang berada di sekitar akan membantu meredakan,"katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menahan enam suspek kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

Terdahulu dalam program itu, beliau hadir merasmikan Ipoh International Art Festival 2021 di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), Jalan Sultan Azlan Shah.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin

Orang ramai terutamanya peminat seni akan berpeluang menyaksikan pameran karya-karya seni visual moden dan kontemporari oleh hampir 50 seniman ternama serta berpeluang mengikuti bengkel-bengkel seni yang dikendalikan oleh tokoh jemputan.