IPOH - Penganjuran Ipoh International Art Festival (IIAF) 2021  berupaya membawa mesej yang jelas kepada masyarakat khususnya kepada warga Perak Darul Ridzuan, bahawa seni juga boleh memainkan peranan yang sama penting dengan bidang-bidang profesional yang lain.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pameran seni bukan sahaja menonjolkan keunikan, malah mengajar kita untuk lebih menghargai seni dan kreativiti sebagai inspirasi kepada kehidupan manusia.

“Saya yakin, dengan sokongan padu pelbagai pihak, termasuk para tokoh seniman dan budayawan tidak kira dalam bidang seni rupa, sastera, muzik, filem dan sebagainya, serta dukungan pelbagai agensi dan syarikat kerajaan dan swasta, festival seni ini mampu diteruskan setiap tahun dan menjadi acara yang dinanti-nantikan oleh orang ramai,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian IIFA 2021 di PORT, Ipoh pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Saarani berkata, selain sebagai satu tarikan pada setiap akhir tahun, festival ini boleh dijadikan titik pertemuan di antara pelbagai generasi dan kaum untuk saling mengenali, memahami, dan menghormati amalan budaya dan kepercayaan masing-masing.

Tambahnya, seiring dengan tema festival pada tahun ini iaitu “Budi: Pemanjangan Tradisi”, sikap luhur, rendah diri dan kebijaksanaan dalam mendepani cabaran-cabaran dunia baru seharusnya diserlahkan melalui karya-karya seni kreatif dan dipanjangkan kepada khalayak.

Festival kali kedua ini turut mendapat kerjasama Japan Foundation, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Ipoh selain sokongan daripada Kementerian Kesenian, Kebudayaan & Pelancongan Malaysia) melalui Tourism Malaysia dan Balai Seni Negara.