KUALA KANGSAR - Seorang wanita warga emas maut setelah kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Kuala Kangsar dekat Taman Makmur di sini petang tadi.
Kemalangan yang berlaku pada pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta Proton Persona dinaiki lima penumpang dipercayai sekeluarga dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.04 petang.
Menurut jurucakap itu, anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu.
"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung berhadapan.
"Seorang lelaki dewasa dipercayai pemandu kereta Proton Persona itu bersama dua perempuan dewasa dan seorang bayi lelaki cedera manakala penumpang wanita warga emas maut.
"Manakala pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki warga Indonesia hanya cedera ringan," ujar jurucakap tersebut.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Persona.
Pemandu kereta Proton Persona itu yang tersepit telah dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan kelengkapan khas.
Mangsa-mangsa lain termasuk warga emas yang maut bagaimana pun tidak tersepit dan mereka yang cedera telah diberikan rawatan kecemasan.
Kata jurucakap itu lagi, kesemua mangsa termasuk warga emas yang meningal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis dan petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai PBK II Mohd. Fauzi Hashim tamat sepenuhnya pada pukul 6.56 petang.