IPOH - Jika Tanah Tinggi Cameron, di Pahang terkenal dengan produk-produk tanaman teh, Bandaraya Ipoh pula bakal dikenali sebagai Bandaraya Kopi.
Sinonim dengan jolokan nama ‘Kopi Putih’ Ipoh, hasrat itu akan terlaksana apabila produk-produk kopi terkenal mampu dihasilkan di Bandaraya Ipoh tidak lama lagi, demikian perancangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md. Daud berkata, untuk menjadikan bandaraya itu, sebagai ‘Bandaraya Kopi', sesebuah lokaliti itu perlu mempunyai banyak produk berkaitan kopi.
“Kita akan kumpulkan semuanya dan memperkukuhkan produk-produk (kopi) tersebut.
“Kalau boleh kita mahu buat seperti mana trail iaitu ‘coffee trail’ dan dalam masa yang sama kita ingin membangunkan tanaman kopi segar iaitu pokok-pokok kopi yang ditanam di dalam Bandaraya Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan sebuah kedai kopi yang juga pengeluar ‘Kopi Putih’ pertama dan tertua di Ipoh, Chang Jiang White Coffee di People’s Park, di Jalan Sultan Iskandar di sini, pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Urusan Syarikat Chang Jiang White Coffee, Kong King Loong; Pengarah Eksekutif Syarikat Chang Jiang White Coffee, Sam Foong dan Ahli Majlis MBI, Albert Ho Wai Mun.
Rumaizi berkata, MBI juga merancang untuk mewujudkan satu tapak khas berkeluasan 1 ekar untuk penanaman tumbuhan itu merangkumi pelbagai spesis.
Jelasnya, kepentingan utama perancangan ini adalah bagi menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai pengeluar kopi terbaik di rantau Asia.
Dalam perkembangan berkaitan, Syarikat Chang Jiang White Coffee merupakan di antara syarikat pelopor pertama yang mengeluarkan produk 'Kopi Putih' .
Sam Fong berkata, ia telah beroperasi sejak tahun 1970-an di sebuah kedai kopi di Jalan Pasir Putih dengan menghasilkan serta sebagai pengilang utama Serbuk Kopi dan Teh di pasaran Negeri Perak.
“Chang Jiang juga memiliki sebuah 'Rumah Style Café' (CJ7) di Jalan Windsor, 'Kopitiam Style Café' (CJ9) di Bangunan Casuarina dan kini 'Guangdong Garden Style Café ' (CJ12) di People’s Park.
Katanya, Chang Jiang berhasrat untuk memperkenalkan ’Ipoh White Coffee’ kepada pengunjung di People’s Park untuk memperkenalkan citarasa asli dan menikmati proses penghasilan dan teknik bancuhan Kopi Putih Ipoh.
Jelasnya, konsep Guangdong di Cafe itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kehidupan dan makanan masyarakat Cina Guangdong pada zaman dahulu kepada zaman generasi muda kini.
“People’s Park juga akan menyediakan gerai-gerai mini yang berkonsepkan 'Small Village Town' untuk para pelancong membeli kraftangan atau makanan yang dijual oleh penduduk tempatan.
“Konsep makanan ‘Small Village Town’ mempunyai citarasa Melayu, India dan Cina yang berupaya menarik pengunjung daripada pelbagai kaum di Ipoh terutamanya.
Di samping itu juga katanya, People’s Park akan menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan kecil yang ingin mempromosikan produk-produk yang berunsurkan tradisional dengan penghasilan ‘Homemade’ menjelang musim perayaan seperti kuih-muih, biskut traditional, pakaian dan makanan di Taman Persisiran Riverfront 'People’s Park' .
Katanya, ia adalah usaha untuk mempromosikan tempat tersebut ke seluruh dunia sekaligus menjadi tempat yang wajib dikunjungi oleh para pelancong apabila melawat ke negeri Perak khususnya Bandaraya Ipoh.