TAPAH - Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 310 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.11 pagi.
Menurut jurucakap tersebut, susulan itu sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah telah dikerah ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kemalangan melibatkan kenderaan Proton X70 yang berlanggar dengan sebuah treler.
"Terdapat tiga mangsa dalam kenderaan tersebut iaitu lelaki dan perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan. Kesemua mereka cedera ringan tetapi tidak tersepit," ujar jurucakap itu.
Pemandu treler itu bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa-mangsa sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Shahruddin Omar itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.10 pagi.