IPOH - Kerja-kerja membaik pulih lapisan permukaan jalan di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang-Jelapang di sini, terpaksa ditangguhkan susulan penemuan mendapan tanah di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata pihaknya sedar bahawa penangguhan itu telah mengakibatkan kesesakan luar biasa, khususnya ketika waktu puncak dan hujung minggu.

Katanya lagi, pengguna jalan raya turut terkesan dengan penutupan laluan kecemasan dan lorong kiri di jalan tersebut yang sudah memasuki hampir dua bulan.

"Pada 19 Oktober lalu, pihak konsesi menemukan sinkhole (mendapan tanah) sebesar 10 meter panjang dan 1.5 meter lebar di bahu jalan Seksyen 4.73.

"Oleh itu kerja-kerja pembinaan semula terpaksa ditangguhkan untuk pemeriksaan lanjut, bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Mohd Zolkafly berkata demikian sebagai mengulas keluhan pengguna jalan itu khususnya di media sosial, yang sering berhadapan dengan kesesakan lalu lintas teruk.

Katanya lagi, punca hakisan tanah itu dipercayai berpunca daripada resapan air kesan kebocoran longkang di tepi jalan.

"Unit Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah membuat pemeriksaan di tapak dan mendapati kebocoran pembetung bersebelahan tembok penahan jalan.

"Ia mengakibatkan takungan air di bahagian bawah kawasan tersebut," katanya lagi.

Tambahnya, antara tindakan awal di lokasi tersebut seperti meletakkan papan lapis dan kanvas di atas permukaan mendapan serta menutup laluan satu lorong bagi mengelakkan kemalangan jiwa.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui konsesi persekutuan akan menjalankan kerja-kerja pembaikan bermula minggu hadapan.

"Kerja akan bermula minggu depan, susulan berlanjutan sudah hampir dua bulan dan keperluan mendesak oleh pengguna jalan raya.

"Ia merupakan langkah pembaikan kekal dan RM 700,000 daripada peruntukan kecemasan Kementerian Kerja Raya telah diperuntukkan bagi kerja pembaikan jalan itu," katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial dengan rungutan pengguna jalan raya yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan teruk ketika melalui jalan tersebut, selain penutupan jalan yang mengambil masa berbulan-bulan.