IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta menerusi notis pemberitahuan di laman Facebook memaklumkan Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Seksyen 27 masih ditutup. 

Notis berkenaan itu menyebut, Cawangan Pakar yangm melaksanakan pemeriksaan di kawasan tersebut mendapati keadaan cerun masih belum selamat untuk dilalui kenderaan sehingga kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah dijalankan sepenuhnya.

"Notis penutupan ini disambung bermula Rabu, 15 Disember sehingga ke suatu arikh yang akan dimaklum kelak. 

"Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands untuk jalan perhubungan sementara. Kesulitan amatlah dikesali," kata JKR Daerah Kinta dalam kenyataan itu, semalam. 

Justeru, pengguna jalan raya diingatkan untuk merancang perjalanan dan mematuhi arahan papan tanda keselamatan di tapak serta pihak berwajib.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun mengeluarkan kenyataan laluan tersebut selamat  digunakan dan mulai dibuka pada 17 Disember ini. 

Pada 2 Disember lalu, dua maut selepas kenderaan dinaiki iaitu Toyota Alphard dan sebuah lori tertimbus dalam runtuhan tanah menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.