IPOH - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) juga telah memohon peruntukan bagi Cadangan Menaiktaraf Tapak Pelupusan di Lot 1706, Mukim Jebong Daerah Larut, Matang Dan Selama Perak.

Permohonan telah dihantar ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan ia merupakan cadangan Rolling Plan-2 Rancangan Malaysia ke-12 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ke Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Pembuangan dan pelupusan sampah atau sisa pepejal memerlukan satu sistem pengurusan yang baik dan mapan demi kelestarian alam sekitar.

“Pengurusan sisa pepejal merupakan salah satu isu utama bagi negara-negara membangun. Ini kerana kaedah kebergantungan kepada tapak pelupusan tidak lagi efektif kerana pertambahan jumlah sisa pepejal saban hari di samping kekurangan kawasan pelupusan.”

Demikian jawapan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi terhadap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Kamunting, Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, terdapat keperluan untuk Negeri Perak menyediakan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Perak bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal yang komprehensif, bersepadu, kos efektif, dan mampan sesuai dengan kehendak masyarakat ke arah pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan awam untuk menggantikan kemudahan pelupusan sampah yang ada di Negeri Perak memandangan terdapat beberapa tapak hampir / sudah habis masa hayatnya.

Nolee berkata, kaedah-kaedah initiatif waste-to-energy (WTE) seperti kaedah loji rawatan termal atau incinerator dan lain-lain kaedah pengurusan sisa pepejal baru adalah alternatif dalam melupuskan sisa pepejal kerana ia melibatkan tapak yang lebih kecil berbanding penyediaan tapak pelupusan sampah baru.

Jelas beliau, WTE adalah lebih mampan dan sangat baik untuk masa hadapan negara berbanding cara pelupusan sedia ada namun kos membina loji WTE agak tinggi dan memerlukan jumlah sampah yang banyak.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri sedang mengkaji dan meneliti kaedah terbaik bagi pengurusan tapak – tapak pelupusan sampah di Negeri Perak melalui usaha penyediaan Blueprint Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Perak dalam perancangan Bajet akan datang.