IPOH - Sikap degil segelintir warga bandar Ipoh membuang sampah secara haram seolah-olah menjadi kebiasaan walaupun setelah dibersihkan terutama di kawasan perumahan, tanah lapang dan di pinggir jalan raya.

Terbaharu, Hala Pegoh 27 di RPT Pengkalan Pegoh Seberang di sini dikesan sebagai lokasi pilihan pembuangan sampah haram apabila menjadi tempat longgokan bahan buangan.

Melihat keadaan ini menimbulkan kedukaan pada Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin kerana sikap buruk ini menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan sekitarnya.

Tegas beliau, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa menjalankan pembersihan di kawasan berkenaan pada setiap bulan namun tidak sampai seminggu, kawasan tersebut dipenuhi sampah semula.

"Terkini, kita telah bersihkan sampah haram di lokasi berkenaan pada 12 Disember lalu tetapi sampah sarap dilonggokkan kembali.

"Keingkaran mematuhi amaran berkenaan telah mengundang masalah terutamanya terhadap penduduk yang tinggal berdekatan," ujarnya.

Rumaizi yang melakukan tinjauan di lokasi berkenaan susulan aduan yang diterima menyifatkan tindakan tersebut menyusahkan pihak-pihak lain.

Katanya, jenis sampah yang sering di buang terdiri daripada sisa-sisa makanan termasuk bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman.

"Jenis sampah seperti ini, jika dibiarkan akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan juga seterusnya menarik tikus dan lalat yang mana merupakan pembawa penyakit.

"Barang-barang yang dibuang itu juga selalunya terdiri daripada bekas-bekas yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Selain daripada itu, terdapat juga sampah-sampah yang terdiri daripada benda-benda tajam seperti pecahan kaca dan potongan tin yang boleh menyebabkan kawasan yang dikotori itu berbahaya khususnya keselamatan," ujarnya.

Tegas Rumaizi lagi, keadaan yang semakin berleluasa itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran tetapi turut membazirkan wang rakyat yang sepatutnya boleh digunakan untuk program pembangunan lain di bandaraya Ipoh.

"MBI akan tetap membersihkannya kerana keadaan ini mencemarkan persekitaran dan boleh menjejaskan kesihatan awam.

"Masyarakat setempat diharap dapat bersama-sama MBI dalam satu pasukan bagi membanteras masalah ini daripada terus berleluasa agar dapat mewujudkan Ipoh sebuah bandaraya yang bersih, hijau dan selamat," ujarnya.


Habis