IPOH - Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menunjukkan penurunan sejak 16 Oktober lalu sehingga 17 Disember iaitu sebanyak 168 kes.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak 85.9 peratus dengan satu kematian berbanding 1,189 kes dan satu kematian bagi tempoh sama tahun 2020.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pada tahun ini hanya terdapat tiga lokaliti wabak iaitu Taman Syabas dengan dua kes, Kampung Baru Kuala Kuang (empat kes) dan Taman Pakatan Jaya (11 kes) dengan satu kes kematian.

"Manakala kes Chikungunya pula, tiada lokaliti wabak dilaporkan bagi tahun ini.

"Sehingga 17 Disember 2021b sebanyak 10 kes berbanding dengan 595 kes bagi tempoh yang sama. Pengurangan sebanyak 98.3 peratus untuk Daerah Kinta," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Pada Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI, di sini hari ini.

Dalam pada itu kata Rumaizi, aktiviti pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan berkaitan kesedaran denggi dan chikungunya oleh MBI dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kinta serta semua agensi dan NGO pada tahun lalu.

Katanya, program ini telah membantu dalam penurunan lokaliti wabak dari 112 lokaliti denggi tahun lalu kepada tiga lokaliti sehingga 20 Disember ini.

"Penglibatan pihak berkuasa negeri, ADUN kawasan, Ahli Majlis, ketua komuniti dalam aktiviti turun padang serta program hebahan maklumat kesedaran denggi dan chikungunya.

"Antaranya melalui media massa, media sosial dan Radio MBI juga telah banyak membantu penurunan kes denggi.

"Sehubungan itu, MBI memohon kerjasama semua individu dan masyarakat agar meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melakukan aktiviti pemeriksaan jentik-jentik dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes pada setiap minggu," ujarnya.