IPOH - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri Perak menyumbang sebanyak RM20,000 kepada kerajaan negeri bagi misi membantu mangsa-mangsa banjir di Selangor.

Sumbangan tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua PKMM negeri Perak, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung ke-42 PKMM di Hotel Casuarina Meru di sini malam tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKMM berkata, sumbangan itu juga merupakan tanda sokongan pihaknya pada misi kemanusiaan yang dijayakan oleh kerajaan negeri Perak.

"Sebaik mendapat tahu yang Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mengetuai misi bantuan Perak ke Selangor, PKMM negeri Perak juga tidak mahu ketinggalan.

"Jadi, kami setuju sumbang RM20,000 kepada kerajaan negeri Perak, insyaallah jika tiada cukup ahli-ahli PKMM negeri Perak akan membuat sumbangan lagi," ujarnya.

Pada akhir majlis, Jamaludin telah menyerahkan cek sumbangan tersebut kepada Saarani.

Majlis turut dihadiri Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan.

Sementara itu bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar, Mohamed Fadzill memberitahu, PKMM turut menyediakan tabung bencana bagi membantu mereka di negeri-negeri yang dilanda musibah banjir.

Katanya, bantuan tersebut bagaimana pun diberi keutamaan kepada ahli-ahli PKMM yang kediaman mereka terjejas teruk di samping juga membantu penduduk terkesan.

"Sebenarnya tabung bencana ini memang sedia ada dan bukan baharu, tujuannya adalah untuk membantu dalam kalangan ahli-ahli kita.

"Semasa pandemik misalnya PKMM telah menggunakan tabung bencana ini bagi menyalurkan bantuan pada orang ramai seperti sumbangan barangan makanan dan sumbangan lain," ujarnya.