IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh menandatangani perjanjian Projek Pembangunan Pusat Pengurusan Sisa Buangan Terjadual Satelit (PESISA) Di Papan Ulu Johan, Mukim Belanja, Daerah Kinta bersama pihak pemegang konsesi iaitu Selekta Spektra Sdn Bhd, pada Khamis.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, cadangan projek ini merupakan projek yang pertama di Perak untuk menyediakan Tapak Pelupusan Selamat bagi pelupusan sisa buangan terjadual yang melibatkan kawasan tanah seluas 140 ekar.

"Di Malaysia, hanya tapak pelupusan selamat Kualiti Alam di Negeri Sembilan sahaja yang melupuskan 77 jenis sisa buangan terjadual disenaraikan dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Negeri-Negeri Utara dan Timur Semenanjung Malaysia juga perlu menghantar sisa buangan terjadual ke Kualiti Alam Negeri Sembilan yang mana kos termasuk pengangkutan adalah tinggi," katanya.

Menurutnya, data statistik taburan sisa buangan terjadual di Malaysia menunjukkan pada tahun 2015, Perak menjanakan kira-kira 14.1% sisa buangan terjadual.

Hal ini kata beliau, akan memberikan keuntungan kepada sektor-sektor industri di negeri Perak yang mana kos pembuangan sisa ini akan menurun.

Tambahnya, penyediaan tempat yang selamat untuk pelupusan sisa buangan ini juga dapat mengelakkan sebarang pembuangan sisa secara haram yang boleh menjejaskan kesihatan dan alam sekitar.

Oleh itu, penyediaan tempat selamat atas faktor kejuruteraan serta teknologi yang terkini, ia dapat memaksimakan penggunaan ruang tanah agar lebih mampan dan sistematik untuk menampung jumlah bahan buangan terjadual yang dihasilkan oleh loji-loji janakuasa arang batu, enap cemar dari kemudahan rawatan air minum dan industri lain.