IPOH- “Sambutan Krismas tahun ini sederhana dan tidak semeriah sebelum ini walaupun negara dalam Peralihan Pelan Fasa Pemulihan dan kelonggaran SOP,” keluh R. Selvi, 41, sewaktu ditemubual menerusi WhatsApp hari ini.

R.Selvi berkata, sebelum ini banyak aktiviti diadakan di gereja dan tradisi kunjung-mengunjung, namun hari ini beliau hanya meraikannya di rumah kerana merasakan keadaan tidak selamat dan kes harian di Perak masih lagi tahap tiga angka.

“Persiapan untuk keluarga juga semuanya ala kadar walaupun semua ahli keluarga tahun ini dapat berkumpul meraikan hari Krismas dan tahun baru.

“Apa yang harus dipastikan ialah persiapan makanan, sedikit kuih muih dan membeli hadiah-hadiah untuk pertukaran seperti tradisi setiap tahun.

“Kami tidak mengadakan rumah terbuka kerana tidak mahu mengambil risiko dan sebagai langkah berhati-hati, lebih-lebih lagi dikalangan keluarga ada di antaranya warga emas. Saya berharap Malaysia segera bebas dari belenggu COVID-19 supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan rasa selamat dan sihat,” katanya yang tinggal di Panorama Lapangan Kinara, Ipoh.

Perayaan Krismas dirayakan oleh penganut Kristian pada25 Disember setiap tahun sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ. Sambutan Krismas seperti tradisinya dimeriahkan dengan hiasan pohon krismas yang dipasang dengan lampu berwarna warni.

Roselin Jebathai a/p David Rajan,51, dari First Garden, Ipoh turut juga berasa sedih kerana tahun ini keluarga abang dan adiknya tidak dapat beraya bersama-sama.

“Seperti tahun sebelumnya, semua keluarga tidak dapat berkumpul. Keluarga abang dan adik saya masih tersangkut di Singapura kerana sempadan negara ditutup akibat penularan baru COVID-19, Omicron.

“Peluang bertukar hadiah sesama ahli keluarga yang lain juga tidak dapat dilakukan, kami hanya dapat berhubung untuk menyampaikan ucapan menerusi dalam talian sahaja. Saya hanya membeli hadiah untuk keluarga dan ibu saya serta jiran cina dan pembantu rumah.

“Kemeriahan Krismas hanya terasa apabila kerajaan melonggarkan SOP untuk bersembahyang di gereja dan berpeluang menghiasi gereja,” katanya yang juga seorang guru menerusi WhatsApp.

Roselin Jebathai juga masih merasa tidak selamat untuk berkunjung ke rumah kawan-kawan dan juga tidak menggalakkan tetamu datang ke rumah kerana bimbang penyebaran COVID-19 terutamanya ibunya yang uzur.

“Kami jiran-jiran di sini hanya mengucapkan Merry Christmas dari luar rumah sahaja, bagi saya cara ini lebih selamat untuk keluarga saya.

“Saya berharap krisis pandemik ini berakhir dengan segera dari terus mengancam negara dunia. Saya amat merindui untuk melancong bersama keluarga bersama ibu dan keluarga seperti dahulu tanpa bimbang,” ujarnya.