IPOH – Sebarang pendudukan, penempatan atau aktiviti dalam kawasan gua atas tanah kerajaan tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan di sisi undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencerobohan dan kegiatan pembinaan struktur yang tidak terkawal boleh mengundang ancaman keselamatan termasuk risiko runtuhan memandangkan gua batur kapur sensitif kepada perubahan cuaca.

Menurut beliau, ancaman ini bukan sahaja kepada pengusaha, tetapi juga kepada pengunjung memandangkan selain menjadi lokasi kegiatan keagamaan, kawasan terbabit juga menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi dan pelancongan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini antara lain mendengar taklimat daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung penghantaran notis kepada 14 pengusaha rumah ibadat dalam kawasan gua atas tanah kerajaan sekitar Mukim Sungai Raya dan Mukim Hulu Kinta.

“Dalam taklimat tersebut, PTG memaklumkan pengeluaran notis berkenaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dibuat atas beberapa faktor,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Kata Saarani, dalam taklimat itu juga diberitahu bahawa berlaku kerja-kerja pembinaan struktur yang semakin aktif tanpa kelulusan sekali gus mengundang risiko keselamatan selain merosakkan sifat gua sebagai kawasan semulajadi untuk dilindungi.

Jelas beliau, mengambil kira laporan pemantauan cerun kritikal yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia selain fenomena perubahan iklim, kerajaan negeri perlu mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Susulan itu PTG telah mengadakan sesi pertemuan dengan pengusaha rumah ibadat.

“Rata-rata mereka memahami kepekaan kerajaan negeri terhadap risiko keselamatan dan langkah-langkah kawalan sewajarnya yang perlu diambil.

“Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini mengambil ketetapan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menentukan status 14 rumah ibadat berkenaan yang terletak di atas tanah kerajaan sama ada melalui kaedah perizaban, lesen pendudukan sementara atau pajakan tanah rizab.

“Ia termasuk memperincikan penetapan syarat-syarat yang perlu dipatuhi berdasarkan status kedudukan yang ditentukan serta menentukan mekanisme kawalan terhadap sebarang struktur dan binaan yang perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” ujar Menteri Besar.