IPOH- Sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina (TBC) menerusi program MBI Prihatin membawa kecerian kepada 88 orang penduduk di dua kawasan naugan Ahli Majlis MajIis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali.

Menurut Puteri Holijah, kebanyakan penduduk-penduduk di dua kawasan terbabit iaitu Changkat Kinding dan Kampung Lim Tan terdiri dari warga emas yang seharusnya disantuni terutamanya musim perayaan TBC yang bakal disambut minggu hadapan.

“Program MBI Prihatin bukan sahaja dapat membantu golongan sasaran, malah ia mampu membuka peluang kepada penduduk menyuarakan permasalahan yang dihadapi.

“Bagi pihak MBI, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud kerana sentiasa prihatin kepada warga bandaraya yang memerlukan perhatian.

“Sumbangan berbentuk makanan keperluan asas ini walaupun sedikit namun kegembiraan mereka jelas terpancar. Setidak-tidaknya kita dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan mereka sempena PBC ini,” katanya kepada Peraktastic sempena Program Sumbangan Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Changkat Kinding , Wong Chin Siang berkata sumbangan yang dihulurkan memperlihatkan keprihatinan pucuk pimpinan MBI, Datuk Bandar Ipoh kepada penduduk khasnya warga emas.

“Pandemik COVID-19 memperlihatkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat terpencil. Mereka yang kurang bernasib baik dari segi ekomoni sememangnya sangat gembira menerima sumbangan ini kerana dapat meringankan kesulitan yang dihadapi,” katanya yang mengelolakan seramai 48 orang penerima sumbangan di kawasannya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Kampung Lim Tan, Eddy Chao, turut berterima kasih kepada pihak MBI yang turun padang menyampaikan sumbangan.

“Ahli Majlis MBI, Puteri Holijah bukan sahaja menyampaikan sumbangan tetapi bersedia mendengar pelbagai keluhan di kalangan penduduk dan berjaya memberi penjelasan serta jalan penyelesaian.

“Saya mewakili penduduk kampung ini, mengucapkan selamat TBC kepada semua warga bandaraya. Saya berharap semua antara kita sentiasa mengamalkan SOP bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan dengan berkesan,” katanya yang mewakili seramai 40 orang penerima sumbangan kawasannya.