IPOH- “Terima kasih kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang telah memulakan kembali program Ipoh Car Free Day (ICFD) yang sememangnya banyak memberi manfaat kepada warga Bandaraya Ipoh khususnya,” kata Pakar Terapi Pemulihan, Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM), Kathiravan Tangaraju.

Menurutnya, Program ICFD merupakan salah satu aktiviti sosial yang sihat yang bukan sahaja melibatkan berbilang kaum dan budaya malah memberi pelbagai infomasi kesihatan berguna.

“Saya berharap program ini diteruskan semula walaupun kita masih lagi dalam Fasa Pemulihan Covid-19. Menerusi program ini, membuka peluang badan-badan NGO dan jabatan-jabatan kerajaan mempromosikan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti pemeriksaan kesihatan, pameran-pemeran dan sebagainya, katanya ketika ditemu bual di gerai promosinya, di sini hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud, berkata ICFD kali ini mengetengahkan slogan Gaya Hidup Lebih Bersih, Hijau dan Pintar (Cleaner, Greener & Smart Lifestyle). Ia bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran di kalangan wargakota mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar agar sentiasa mangamalkan gaya hidup hijau dan rendah karbon.

“Kita juga membawa tema sambutan Tahun Baru Cina yang dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, pemberian angpaw dan buah limau. Ini jelas membuktikan semangat Keluarga Malaysia dalam sambutan sesuatu perayaan di Malaysia tanpa batas sempadan bangsa dan agama.

“ICFD sebelum pandemik, ia diadakan di Jalan Raja Dihilir dan Jalan Greentown bermula pada 22 Disember 2019 dan kali terakhir MBI menganjurkan pada Februari 2020. Hari ini kita mulakan semula dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

ICFD turut menerima tajaan daripada Syarikat Top Glove yang telah menyumbangkan 10,000 unit mask (pelitup muka) dan 5,000 unit sarung tangan; Syarikat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., menyumbangkan minuman isotonik 100Plus dan Persatuan Berbasikal Cycledios pula menyumbangkan limau mandarin.

ICFD dilaksanakan setiap bulan pada minggu ke-4 selaras dengan Visi MBI ke arah Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.