IPOH: Kejadian ribut taufan yang menyebabkan beberapa kediaman di sekitar bandaraya Ipoh lewat petang semalam rosak teruk namun tiada kemalangan nyawa dilaporkan.

Sewaktu kejadian bencana alam itu, beberapa rakaman video tertular menerusi perkongsian di media sosial WhatApps oleh penduduk terbabit dan yang berhampiran terutamanya Kampung Tawas. Salah satu video berdurasi 9 saat memaparkan kejadian itu sehingga menerbangkan kepingan atap dari premis berdekatan.

Pagi tadi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah Bahagian Perkhidmatan Bandar telah turun seawal pagi dalam usaha membersihkan pokok tumbang khususnya yang menghalang lalu lintas dan bahagian-bahagian rumah yang diterbangkan ribut.

Menurut kenyataan terkini memaklumkan jumlah rumah yang terjejas keseluruhannya ialah 219 buah rumah iaitu kawasan Desa Seri Chepor, 30 buah rumah; Kampung Tawas dan Kampung Tasek Damai, 49 buah rumah; Klebang 30 buah rumah dan Taman Desa Impian sebanyak 110 buah rumah.

Sementara itu semalam, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, menyatakan mereka menerima panggilan mengenai kejadian berlaku di sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas pada 6.40 petang.