IPOH - Jalan-jalan di bandar ini mula sibuk dengan kenderaan sejak Jumaat lalu berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman untuk meraikan Tahun Baru Cina selain kedatangan pengunjung luar bercuti.

Masyarakat Tionghua misalnya tertumpu di kawasan pekan lama Ipoh di mana terdapat banyak kedai-kedai makan Cina popular termasuk menjual kelengkapan menyambut hari besar tersebut.

Tempat-tempat seperti Pasir Pinji, Bercham, Taman Canning dan Ampang yang majoritinya merupakan penduduk Tionghua juga sibuk terutama pada waktu pagi apabila pasar dan lokasi medan selera menjadi tumpuan.

Walaupun keadaan jalan yang sibuk sepanjang sambutan Tahun Baru Cina ini namun bagi warga bandar Ipoh situasi tersebut telah biasa dilalui dan tidak menghalang mereka untuk menjalankan aktiviti harian.

Kunjungan pada kebanyakan tempat-tempat makan popular di bandaraya ini juga menyaksikan, jumlah pelanggan yang datang ada tidak putus-putus.

Misalnya di Tasek, kedai makan popular iaitu Mee Rebus Ramli dikunjungi penggemarnya termasuk pelanggan dari luar Ipoh semata-mata rindu pada mi rebus dan laksa.

Seorang pelanggan, Mohamad Rashid Amin, 39, memberitahu, destinasi pertama dia sebaik tiba dari Rawang adalah ke kedai tersebut kerana inginkan mi rebus Ramli yang rasanya lain daripada lain.

"Saya merupakan penggemar mi dan mi rebus Ramli antara yang menjadi kegemaran sekiranya datang ke Ipoh.

"Rasanya tidak sama dengan mi di tempat lain dan disebabkan tiada cawangan mi ini di luar Perak maka ia menjadi eksklusif," ujarnya.

Lokasi lain yang menjadi tumpuan ramai ialah di Medan Selera Silveritage kerana di sini terdapat banyak gerai makan yang enak-enak.

Sementara itu, pengusaha kafe hispter terkenal di Ipoh, Azril Aryandi Zambri berkata, Kafe Konda Kondi di Jalan Sultan Idris Shah itu dibuka seperti biasa sepanjang cuti Tahun Baru Cina dan menjangkakan pertambahan pelanggan.

Katanya, kebiasaannya pengunjung akan bertambah sehingga dua kali ganda terutama kehadiran perantau yang pulang bercuti.

"Cafe akan buka seperti biasa iaitu bermula pukul 5 petang hingga 11 malam. Kakitangan kita juga telah membuat persediaan termasuk memastikan bahan mentah mencukupi," ujarnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Rohsyam Rozaman, 40, berkata, dia akan mengelak untuk ke pusat bandar pada waktu tengah hari semasa Tahun Baru Cina ini agar tidak terperangkap dengan kesesakan selain menunggang motosikal agar lebih mudah.

"Sepanjang cuti saya pun tak ke mana-mana, hanya di rumah dan bergerak ke kawasan dekat-dekat sahaja.

"Keperluan harian dan barang-barang pasar pun kita beli awal-awal bagi keperluan seminggu kerana banyak kedai tutup semasa cuti perayaan," ujarnya.