IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan menambah keselesaan pengguna jalan raya di bandaraya ini.

Jabatan Kejuruteraan melalui Bahagian Saliran dan Bahagian Jalan MBI telah menurap semula jalan di sekitar kawasan pentadbiran MBI pada tahun 2021.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pelaksanaan kerja-kerja tersebut melibatkan sejumlah RM14.7 juta telah dibelanjakan daripada pelbagai sumber yang diterima.

Antaranya perbelanjaan MBI sebanyak RM5.1 juta Amanah Saliran Jabatan Pengairan dan Saliran (RM3.1 juta), Peruntukan MARRIS (RM5 juta), KPKT (RM1.5 juta) dengan jumlah keseluruhan RM14.7 juta.

Kata Datuk Bandar Ipoh, pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, MBI akan terus menggunakan peruntukan yang hampir sama jumlahnya untuk terus menjalankan pelbagai projek.

"Misalnya Tebatan Banjir bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat dan program penurapan semula jalan-jalan utama bagi meningkatkan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

"Projek-projek kawalan atau tebatan banjir ini melibatkan komponen kerja seperti membaikpulih longkang, membersihkan longkang-longkang dan membersihkan kolam-kolam tadahan.

"Tindakan lain ialah memasang pintu air (flap gate), membina longkang baru, menjajarkan semula longkang, mengambilalih pemilikan tanah untuk tujuan membina longkang baru dan memasang/membaiki pam-pam banjir dan lain-lain yang berkaitan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2022 di Dewan Mesyuarat MBI.

Tumpuan utama adalah di kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kilat pada 19 Januari lalu iaitu di Desa Impian, Bercham dan Taman Cempaka (Sari 5, Sari 7, Sari 9, Sari 11, Sari 13).

Kawasan-kawasan ini adalah antara yang paling teruk terjejas setelah hujan lebat dengan purata bacaan 77-100mm yang turun selama 2 jam.

Selain itu katanya, MBI akan terus memantau situasi longkang-longkang yang pernah terkesan dengan isu banjir kilat.

"Untuk rekod, jumlah aset bagi longkang Monsun disekitar kawasan pentadbiran Majlis Banadaraya Ipoh adalah 265,000 meter panjang (265km).

"Terdapat 111 kolam tadahan banjir dan 22 kolam kering yang mana jumlah kolam-kolam ini akan bertambah setiap tahun apabila wujudnya kawasan-kawan taman/penempatan yang baru," ujar beliau.