IPOH - Sebanyak 15 kes import luar negara jangkitan Covid-19 direkodkan di Perak daripada keseluruhan 172 kes baharu yang dicatatkan Jabatan Kesihatan negeri semalam.

Bagaimana pun, tiada perincian mengenai sumber atau lokaliti dari mana jangkitan tersebut melainkan hanya dicatatkan nama daerah sahaja.

Berdasarkan paparan pada laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan negeri Perak, terdapat 10 kluster aktif di negeri ini direkodkan sepanjang seminggu lalu.

Hanya satu mencatatkan kes baharu iaitu Kluster Batu Empat Kamunting iaitu empat kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes.

"Secara kumulatif 10 kluster aktif ini mencatatkan sebanyak 207 kes dengan tertinggi Kluster Batu 10 Lekir iaitu 47 dan Jalan Seramik Chepor 11/6 dengan 36 kes.

"Daripada 172 jangkitan baharu pula, pesakit tertinggi adalah bagi kategori dua iaitu 89 peratus atau 153 kes diikuti kategori 1 dengan 17 kes," ujar kenyataan tersebut.

Jumlah yang dirawat pula sebanyak 1,604 dengan 11 pesakit di wad unit rawatan rapi manakala tiada kematian direkodkan selepas dua hari berturut-turut mencatatkan satu pesakit meninggal dunia.

Kinta kekal menjadi daerah tertinggi kes positif Covid-19 dengan 51 kes diikuti Larut Matang Selama (31) dan Manjung (29).