IPOH - Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk memperkasakan ekonomi asnaf menerusi program 1 Masjid 1 Perniagaan Asnaf atau ringkasnya 1M1PA.

Inisiatif ini telah membuka peluang kepada golongan asnaf yang berminat dan berkeupayaan untuk menjalankan sebarang usaha niaga yang bersesuaian.

MAIPk dalam kenyataan pada laman Facebook rasmi memberitahu, lokasi untuk mereka berniaga pula adalah di pekarangan masjid yang terpilih.

Menerusi program ini, pihak MAIPk menyediakan bantuan peralatan dan kelengkapan bersesuaian dengan perniagaan yang hendak dijalankan.

"Premis berbentuk kabin, latihan kemahiran serta kursus pembangunan perniagaan dan pengurusan kewangan akan disediakan.

"Dalam masa sama, pihak masjid yang dipilih pula menyediakan tapak untuk meletakkan kabin, ruang landskap dan tempat memarkir kenderaan di pekarangan masjid," ujar kenyataan tersebut.

Inisiatif ini telah berjaya melahirkan usahawan-usahawan asnaf sebagai usaha untuk mengeluarkan mereka daripada kelompok asnaf agar suatu hari nanti berupaya pula menjadi muzakki negeri Perak.

Inilah antara bentuk bantuan yang disediakan oleh MAIPk pada golongan asnaf mengikut keupayaan dan potensi diri mereka.

Semoga program bantuan sebegini terus mendapat sokongan dan dukungan para muzakki dengan terus istiqamah menunaikan kewajipan berzakat bersama-sama Zakat Perak-MAIPk.