IPOH- Sukan antara platform berkesan menyatukanpadukan masyarakat berbilang kaum selain dari melahirkan modal insan yang sihat dan cergas.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dalam sesuatu kelompok komuniti, seharusnyalah acara sukan memainkan peranan yang penting.

“Pertandingan Bola Jaring Piala Ahli Parlimen Tambun 2022 (PBJPAPT 2022) ini, merupakan pengajuran yang tepat kerana disertai dari berbilang kaum. Ini menunjukkan kita hidup dalam satu rumpun yang harmoni dan muhibbah.

“Begitu juga krisis pandemik COVID-19 yang dilalui bersama hampir dua tahun, sememangnya tempoh itu semua aktiviti sukan tidak dapat dilaksanakan. Kini setelah Pelan Peralihan Negara (PPN) dilaksanakan, ia membuka berpeluang kepada semua untuk menyertai aktiviti riadah namun pengajurannya haruslah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM),” katanya selepas merasmikan PBJPAPT 2022, di sini semalam.

PBJPAPT 2022 dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun (PKRPT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI); Jabatan Belia & Sukan dan Persatuan Bola Jaring, Daerah Kinta. Sebanyak 16 kumpulan telah menyertai pertandingan ini yang terdiri dari perbagai angensi dan jabatan.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI, Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali berkata sambutan orang ramai terhadap PBJPAPT 2022 sangat menggalakkan sehinggakan permohonan terpaksa ditutup.

“Sebaik sahaja PBJPAPT 2022 dibuka kepada penyertaan, kami telah menerima penyertaan di luar jangkaan. Sebenarnya ada lagi 20 pasukan yang berhajat untuk menyertai PBJPAPT 2022 ini, tetapi kita hanya menerima 16 pasukan sahaja melihat kepada kepentingan dari segi SOP dan keselamatan. Kita akan ajurkan lagi pertandingan seumpama ini pada masa hadapan.

“Terima kasih juga kepada PKRPT dan MBI khususnya Datuk Bandar Ipoh diatas kesudian merasmikan PBJPAPT 2022 dan membantu serba sedikit dari segi peralatan-peralatan yang diperlukan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Presiden Bola Jaring Daerah Kinta, merangkap Pengarah Teknikal, Napisah Yahya.

Seorang peserta PBJPAPT 2022, Norhanis Amira Yosri, 25, berkata sukan bola jaring adalah permainan komuniti yang dapat memupuk semangat berkumpulan dan berkerjasama disamping mencungkil bakat-bakat dikalangan generasi baru.

“Saya amat teruja dengan pengajuran program ini, penglibatan saya dalam suka bola jaring sejak berusia 11 tahun sehinggalah saya berpeluang mewakili ke peringkat kebangsaan pada 2017.

“Saya berasa pengajuran program ini selamat kepada semua peserta kerana sebelum pertandingan kami diwajidkan membuat ujian saringan COVID-19 bagi memastikan kami dalam keadaan sihat dan bebas dari wabak COVID-19,” ujarnya.

Hadiah Johan PBJPAPT 2022 menerima RM1,000 beserta piala dan medal, naib juara RM700 beserta piala dan medal, tempat ketiga RM500 beserta piala dan medal dan tempat keempat RM250 berserta medal.