IPOH - Orang ramai melahirkan rasa kebimbangan berikutan tular video kelibatseekor harimau belang yang dilihat di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

Rata-rata pemandu yang sering melalui jalan tersebut pada masa turut bimbang jika haiwan liar itu menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab khususnya pemburu liar.

Seorang pemandu, Zainudin Ahmad mahu pihak berkuasa meningkatkan kawalan di kawasan tersebut terutama di lokasi harimau didakwa kelihatan.

"Sepanjang melalui jalan ini saya tak pernah lagi terserempak atau ternampak kelibat harimau, minta dijauhkan.

"Kalau melihat pada video tular haiwan itu juga nampak takut-takut, cuma apa pun saya tetap berwaspada," ujarnya kepada Peraktastic.

Pemandu lori sayur, Jamaluddin Abd. Halim berkata, kelibat harimau itu mungkin menunjukkan habitat haiwan itu terancam.

Katanya, kejadian ini juga bukan kali pertama kerana sebelum ini ada pemandu mendakwa pernah melihat kelibat pak belang sebelum haiwan liar itu menghilangkan diri.

"Dah banyak cerita-cerita harimau dilaporkan dilihat secara terbuka misalnya di kampung pinggir hutan.

"Sebagai pemandu memang ada rasa kebimbangan tapi sepertimana haiwan liar lain kebiasaannya tidak akan mengganggu manusia melainkan habitatnya terancam," ujar beliau.

Dalam pada itu, pemantaun sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak ekoran dakwaan tersebut.

Pengarah Perhilitan negeri, Yusof Shariff berkata, satu rakaman video tular dalam media sosial mengakatakan harimau berkenaan dikesan di kawasan hentian rawat dan rehat (R@R) atau Banjaran Cafe dekat situ.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima rakaman video tersebut pada pukul 10 malam tadi.

“Perhilitan Perak sedang menyiasat rakaman video tular harimau dilihat di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

“Susulan itu kita telah menghantar unit harimau Perak ke tempat yang dikatakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Sejak semalam tular video berdurasi 17 saat rakaman pengguna jalan raya seekor harimau belang di satu kawasan semak yang berbukit.