SUNGAI SIPUT - Hujan lebat tanpa henti malam tadi menyebabkan penduduk di Kanthan berdepan situasi cemas apabila air naik menyebabkan banjir kilat awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.08 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dihantar ke lokasi bagi melakukan pemantauan.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati berlaku kejadian banjir kilat di kawasan sekitar kuil Hindu di Kanthan.

"Paras air dianggarkan kira-kira dua kaki. Banjir kilat mengakibatkan 15 kereta terperangkap dalam banjir," kata jurucakap tersebut.

Bagaimana pun tiada mangsa dipindahkan dan bomba terus berada di lokasi memantau banjir sehingga air surut sepenuhnya.

Operasi yang diketuai PBK II Fauzi Hashim itu tamat pada pukul 12.44 pagi.