IPOH – Fahmi Yusoff bersama rakannya, Mohd. Zubir Mohd. Ismail akan berkereta dari satu kawasan perumahan ke satu kawasan untuk mendapatkan minyak masak terpakai.

Dua sahabat yang masing-masing berusia 27 tahun ini melakukan kerja tersebut secara sambilan dengan kunjungan ke rumah penduduk telah diatur awal-awal.

Sejak dua tahun lalu kerja sambilan ini telah memberikan pendapatan tambahan kepada keduanya yang mengendalikan perniagaan dalam talian.

Menurut Fahmi, minyak tersebut kemudian dihantar kepada syarikat tertentu yang akan memproses­nya menjadi biodiesel.

“Saya pernah be­kerja dengan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti kitar semula di sekolah-sekolah sebelum ini, jadi di situ timbul idea untuk melakukan kerja ini.

“Jadi, apabila tiada pekerjaan semasa pandemik lalu saya terfikir mengapa tidak me­lakukan kerja mengumpul mi­nyak masak terpakai,” ujarnya.

Setiap hari mereka mampu mengumpul kira-kira 70 kilogram (kg) minyak masak terpakai yang dibeli daripada orang ramai.

Kata Fahmi, permintaan terhadap minyak masak terpakai untuk kitar semula sangat tinggi cuma kesedaran masyarakat mengenainya masih rendah.

Ujarnya, kebanyakan isi rumah tidak mengetahui tentang kaedah membuang lebihan mi­nyak masak yang telah digunakan dan bahan tersebut dibuang begitu sahaja.

"Pada masa ini kami menggunakan Facebook untuk dihubu­ngi (penjual) sebelum menetapkan masa untuk datang membeli minyak masak terpakai.

“Kami merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan persatuan penduduk atau komuniti sekali gus meningkatkan kesedaran ini,” ujarnya.

Bagi warga bandaraya Ipoh yang ingin mempunyai simpanan minyak masak terpakai untuk dijual bolehlah menghubungi mereka di talian 011-3146 6683.