IPOH - Mangsa kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Simpang Pulai dekat sini pada Ahad lalu akan menerima bantuan kecemasan bagi meringankan beban sedia ada.

Antara kediaman penduduk yang mengalami kerosakan adalah di Taman Bersatu,
Tekkah, Serdang Permai, Tanjung dan Kampung Baru Simpang Kpg Pulai.

Timbalan Ketua Bahagian MCA Gopeng, Cally Ting berkata, sehingga semalam seramai 44 keluarga yang terjejas telah didaftarkan.

Menurut beliau, proses berkenaan dilaksanakan Pejabat Penghulu dibantu sukarelawan Barisan Nasional (BN) Gopeng di Dewan Taman Bersatu, Simpang Pulai.

"Setiap mangsa yang layak didaftarkan akan menerima RM200 bantuan kewangan dan kotak makanan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Di samping itu, BN Gopeng juga memperuntukan RM100 kepada setiap mangsa, menjadikan jumlah bantuan keseluruhannya sebanyak RM300," ujarnya ketika dihubungi di sini.

BN Gopeng juga akan terus bekerjasama dengan Pejabat Penghulu untuk memastikan rumah mangsa dapat dibaikpulihkan dengan secepat mungkin.

Kejadian ribut yang berlaku antara pukul 5 hingga 6 petang itu menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak pada bahagian atap, siling selain ada tiang elektrik tumbang.