IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan penurapan jalan sepanjang 56 kilometer yang melibatkan sebanyak 67 lokasi di sekitar pusat bandaraya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata kerja-kerja penurapan jalan bagi fasa pertama itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pertengahan Mac sehingga Julai 2022.

“MBI banyak menerima aduan berkaitan kerosakan jalan raya seperti lubang atau potholes, jalan beralun, tampalan jalan oleh agensi utiliti yang tidak sempurna, kerosakan akibat banjir, takungan air dan sebagainya. Masalah itu menyebabkan ketidakselesaan lalulintas serta mengancam keselamatan pengguna.

“Pihak Jabatan Kejuruteraan MBI telah mengenalpasti jalan-jalan yang perlu dinaiktaraf dan diturap semula bagi menjamin keselamatan pengguna lalulintas berdasarkan kepada keutamaan dan peruntukan yang diperolehi.

“Fasa pertama penurapan jalan ini, melibatkan jalan-jalan utama di kawasan MBI,  pusat bandar,   perumahan dan kawasan perindustrian. Ia memperuntukan sebanyak RM12 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris)”, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kerja-kerja penurapan ini telah diamanahkan kepada pihak konsesi iaitu Syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd.

Rumaizi berharap, wargakota Ipoh dapat bersabar dan mematuhi kehendak-kehendak lalulintas semasa pelaksanaan kerja yang berkemungkinan wujud gangguan lalulintas seperti penutupan sebahagian lorong ataupun lencongan yang tidak dapat dielakkan. 

“Pelaksanaan kerja-kerja itu, diharap dapat mempertingkatkan lagi kualiti jalan raya serta memberi keselesaan kepada pengguna sepertimana yang diharapkan. Bagi fasa kedua pula, kita akan beralih tumpuan ke kawasan-kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT)”, ujarnya.