IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh melangkah setapak lagi dalam urusan pendigitalan sepenuhnya menerusi pembayaran caj tempat letak kereta dengan aplikasi Park@Perak.

Seiring dengan pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya, kupon fizikal tidak akan lagi dijual kepada ejen jualan kupon letak kereta berkuatkuasa 1 Jun 2022.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kupon fizikal sedia ada masih boleh dijual kepada orang awam dan digunakan sehingga 31 Disember 2023.

Menurut beliau, Park@Perak kini telah dikemaskini dengan versi terkini (Ver 3.0.0) yang menampilkan fungsi terbarunya.

"Fungsi tersebut iaitu pas harian, pas bulanan dan semakan status pelekat kenderaan (Pas Bulanan, Pas VIP, Media dan UTC).

"Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Play Store, App Store dan Huawei Gallery," ujarnya semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh di sini.

Bagi memudahkan urusan, orang ramai juga boleh menghubungi Unit Letak Kereta di talian 05-255 4377 / 05-255 4387 / 05-2554388 untuk sebarang pertanyaan.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tetap prihatin dengan situasi semasa apabila
melanjutkan tempoh pembayaran bil Cukai Taksiran Penggal Pertama 2022 sehingga 15 Mac ini.

Ia bagi memberi peluang kepada wargakota membuat pembayaran dalam usaha membantu wargakota yang terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa.

"Sehubungan dengan itu, mana-mana pemilik pegangan yang masih belum menjelaskan Bil Cukai Taksiran bagi Penggal Pertama tahun 2022 adalah digesa supaya menjelaskan bil tersebut bagi mengelakkan kenaan Notis E kelak.

"Pihak Majlis hanya akan melaksanakan tindakan tahanan harta alih (Waran F) selepas 15 hari kenaan Notis E dikenakan," ujarnya.