IPOH- Tasik Cermin Eco Park akan ditutup daripada lawatan pengunjung setiap kali berlaku hujan lebat dan angin kuat.

Menurut Pengarah Pelancongan dan Korporat, Tasik Cermin Tourism Sdn Bhd., Siti Norlizawati Narawi dalam kenyataan medianya hari ini, paras air di tasik cermin bahagian pertama telah meningkat bermula pada 10 Mac 2022 berikutan hujan lebat setiap hari sejak seminggu yang lalu.

“Kejadian banjir itu bukanlah disebabkan oleh pembangunan yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju. Tiada sebarang gangguan mahupun pembangunan yang sedang dibuat di dalam Tasik Cermin pertama dan kedua. Pembangunan dijalankan hanyalah di bahagian ruang lapang di luar daripada terowong Tasik Cermin.

“Tasik Cermin pertama dan kedua masih kekal dalam keadaan semulajadi. Namun paras air di Tasik Cermin pertama menunjukkan paras air tidak stabil dan ada ketikanya pasang surut selepas hujan”, katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, faktor lain menyebabkan limpahan air terjadi ialah timbunan daun-daun kering telah menutupi laluan air di dasar yang menghubungkan Tasik Cermin kedua.

Pihak pengurusan juga telah menutup Tasik Cermin pertama daripada lawatan pengunjung pada 10 Mac 2022 kerana hujan lebat yang turun sejak awal pagi dan air telah naik secara tiba-tiba.

“Ketika ini, pelantar yang ditengelami air masih dalam keadaan baik dan kukuh. Pelantar di bahagian hadapan telah ditutup kepada pengunjung sejak 7 Mac 2022 apabila paras air ketika itu sedang meningkat naik”, ujarnya bagi menjawab isu Tasek Cermin dinaiki air yang tular di media sosial semalam.